Aku menunggu Lokman dengan penuh kesabaran. Aku tidak tahu apa yang ingin diperkatakannya. Nada suaranya pagi tadi cemas, benar-benar membuatkan aku mahu menemuinya. Aku hairan bagaimana Lokman boleh menghubungi aku lagi sedangkan aku sedaya upaya mahu lari daripadanya.
“Assalamualaikum. Dah lama menunggu?” Aku menoleh ke belakang, seorang lelaki yang pernah mencuri hati aku dan pernah aku rindui dahulu, kini berdiri di depan mata aku.
“Aein masih cantik, ayu dan manis macam dahulu,” pujinya walaupun aku hanya membalas salamnya ringkas.
“Sudahlah Lokman, lelaki memang suka memuji setinggi langit. Tak perlu memuji berlebihan, takut ada yang kena nanti…,” kata aku menyampaikan nasihat tersirat yang aku harap benar, dia akan memahaminya.
“Saya ikhlas, Aein. Tak semua lelaki hanya pandai memuji dan awak kena tahu walau bertahun-tahun tak jumpa, awak tetap di dalam hati saya,” katanya yakin.
Ya Allah, mengapa kau hadirkan kembali insan yang sudah berjaya aku luputkan ingatan aku kepadanya sekarang?. Hati aku bersuara.
Lokman memesan hidangan dan dia nampaknya cuba mengusik jiwa perempuan aku bila masih mengingati makanan dan minuman kegemaran aku, laksa Johor dan jus tembikai.
“Awak buat saya cemas sepanjang pagi tadi. Apa yang berlaku sebenarnya?”
“Saya bertolak dari KL pagi tadi juga setelah saya dapat tahu yang awak berada di Johor Bahru. Awak tahu, sudah empat tahun saya mencari awak…akhirnya saya dapat jumpa awak di sini, Aein….”
“Buat apa awak cari saya Lokman? Apa yang telah terjadi dan apa yang awak buat dulu saya dah lupakan semuanya. Saya dah maafkan awak…”
“Bukan begitu Aein. Saya nak sambung balik hubungan kita yang terputus dulu….,”
“Lokman, saya tak akan meruntuhkan kebahagiaan orang lain. Awak tahukan saya ini macam mana orangnya?”
“Awak juga pasti tahu saya macam mana…saya akan tunggu awak sampai saya mati, Aein,” jawab Lokman.
“Lokman, maafkan saya….sebenarnya tiada sedikit pun sisa cinta saya untuk awak. Saya harap awak faham dan lupakanlah saya,” aku bersuara tegas sambil berlalu meninggalkan Lokman termanggu sendirian.
Benar, aku sudah melupakan Lokman dan sudah sekian lama jugalah aku cuba memadamkan rasa cinta yang pernah membara untuknya dulu.
****************************************
Beberapa hari kemudian, aku menerima panggilan telefon dari seorang wanita bernama Rina – isteri Lokman yang memang aku kenali. Aku bertemunya atas permintaan Rina sendiri. Sekarang dia sudah bertudung tetapi kecantikannya masih tetap seperti dulu. Malah, aku merasakan dia bertambah cantik bila bertudung. Sikap tenangnya aku kagumi walaupun ada riak resah dan kecewa di matanya.
“Aein masih cantik dan manis macam dulu,” katanya setelah aku menegurnya supaya memanggil aku dengan panggilan nama saja, tidak perlu ungkapan ‘Cik’ yang diucapkan ketika kami mula bertentang mata.
Rina kemudiannya mengusik jiwa aku bila dengan tiba-tiba memesan makanan kegemaran aku di restoran itu. Aku memandang wajahnya penuh makna.
“Saya tahu Aein suka laksa Johor dan jus tembikai. Maafkan saya, tapi saya terbaca kisah cinta awak dan Lokman dalam diari Lokman. Saya tahu ia salah tapi sebagai isterinya, saya fikir saya ada hak itu bila saya sedar sikapnya semakin jauh dengan saya. Sekarang saya sedar kuasa cinta saya tak mampu memadamkan kekuatan cinta awak di dalam hati Lokman,” tuturnya dalam ketenangan.
“Rina, usahlah diungkit kisah yang lama itu. Saya sudah lupakan Lokman,” kataku tulus.
“Tidak Aein. Aein kena tahu satu perkara…..,” Rina yang tadinya kelihatan sangat tabah mula menitiskan air matanya. Banyak mata yang berada di sekeliling kami mula memandang kami berdua. Aku menghulurkan tisu kepada Rina.
“Sudahlah Rina, saya ikhlas mengatakan kasih sayang saya pada Lokman sudah lama saya kuburkan. Awak tak perlu risau sebab saya tak akan rampas dia dari awak. Saya tak akan melayan dia lagi,” kata aku cuba memujuk Rina.
“Bukan begitu Aein. Awak tak tahu apa terjadi sebenarnya dalam perkahwinan kami. Awak tahu Lokman terpaksa berkahwin dengan saya? Saya bukan gadis pilihan hatinya.”
“Ya, saya tahu Rina. Tapi awak menjadi pilihan keluarganya, bukan?”
“Ya Aein….saya memang pilihan keluarga Lokman tapi saya bukan pilihan dia. Sebenarnya Aein….saya dan mama Lokman perangkap Lokman untuk kahwin dengan saya. Saya masih ingat, malam tu sebenarnya Lokman memang dah berniat nak melamar awak menjadi isterinya,” Rina terhenti bercerita sambil mengesat air matanya. Aku hanya berdaya memandang wajahnya.
“Aein, Lokman masa tu dalam perjalanan nak jumpa awak….saya telefon dia dan paksa dia datang ke rumah saya sebab saya kata saya tak sihat, sakit kepala dan rasa nak pengsan. Lokman mulanya enggan tetapi akhirnya mengalah dengan desakan saya. Pada masa yang samalah mama Lokman menelefon pejabat agama dan akhirnya kami tertangkap dan dituduh melakukan maksiat." sekali lagi Rina terhenti bercerita. Aku cuba menahan perasaan dan lidah terasa kelu untuk berkat apa-apa.
“Rancangan saya dan mama Lokman memang berjaya memerangkap Lokman untuk berkahwin dengan saya. Mama Lokman mendesak dan kami segera bernikah sebab tak nak memanggung malu. Tapi benarlah kata orang-orang tua, cinta janganlah dipaksa dan jodoh jangan diatur tanpa perasaan…akhirnya badan akan binasa. Saya sedang mengalaminya Aein. Lokman dah enam bulan tak balik ke rumah membiarkan saya sendirian menangisi nasib diri. Saya masih menanti kepulangannya hingga ke hari ini. Aein, jujur saya katakana apa yang saya lakukan memang jahat bagi awak dan ramai orang….memaksa dia berkahwin dengan saya memang kejam bagi awak tapi saya sangat menyintainya. Sekarang, saya sangat-sangat merinduinya,” Rina bersuara sambil menahan esak tangisnya.
“Sabarlah Rina, anggaplah ini dugaan dariNya. Awak kena kuat menghadapinya. Mungkin sekarang awak belum nampak hikmahNya, mana tahu esok lusa awak akan mendapat kebahagiaan yang awak cari, Yang penting, awak tak perlu bimbang dengan saya kerana saya berjanji…biar Lokman menagih sekalipun, saya sudah matikan cinta saya untuk dia,” kataku tenang dan pasti.
“Aein, awak terlalu baik. Sekarang saya rasa sangat berdosa merampas dia dari awak. Tapi saya juga tak terdaya menahan rasa cinta saya kepadanya. Lagipun, apa yang saya buat sudah terlalu jauh untuk saya berpatah balik. Saya tak nak kehilangan Lokman sebagai suami. Saya sangat sayangkan dia. Kalau Aein jumpa dia atau mungkin dia ada menghubungi Aein, awak katakan padanya…saya mohon maaf dari hujung rambut ke hujung kaki. Halalkan makan minum saya selama ni….,” kata Rina penuh harapan.
“Rina…awak janganlah risau apa-apa. Percayalah, bertepuk sebelah tangan tak akan berbunyi. Lagipun saya percaya kalau benar kita sayangkan seseorang, kita kena redha dan lepaskan dia untuk mencari bahagianya,” kata aku sebelum kami berpisah petang itu, sambil Rina memeluk erat tubuh aku yang pernah menjadi musuhnya dulu.
****************************************
Pertemuan dengan Rina membuatkan aku banyak berfikir tentang masa depan rumah tangganya bersama Lokman. Sebagai perempuan, aku tidak sanggup melihat hati Rina hancur dan terluka. Aku tidak mahu Lokman mengabaikan dia hanya kerana cuba mengejar cinta aku kembali.
Aku menguatkan jiwa untuk menghubungi Lokman. Aku mahu Lokman tahu kasih sayang dan cinta aku sudah tiada untuknya. Aku mahu dia sedar aku tidak boleh menerima dia kembali dalam hidup aku. Aku mahu dia kembali kepada Rina, menjalankan semua tanggungjawabnya sebagai suami. Menyayangi Rina hingga hujung nyawanya.
“Apa mimpi Aein telefon saya? Awak dah boleh terima saya semula dalam hidup awak?” Kata Lokman dengan suara ceria bila menyedari aku yang menghubunginya.
“Lokman tolonglah dengar apa yang saya ingin katakan ini. Saya sebenarnya sudah berhari-hari mengumpul kekuatan dan memikirkan cara terbaik untuk bercakap tentang ini dengan awak. Ikutkan saya tidak mahu sesekali menghubungi awak. Macam saya katakan hari itu, saya sudah tak menyintai awak lagi. Cinta saya dah mati untuk awak, Lokman. Awak dah tak ada ruang langsung dalam hati saya ni. Sebenarnya saya dah bertemu orang lain dan hati saya sudah saya serahkan kepada dia…saya harap awak faham, Lokman,” kata aku dengan suara bergetar.
“Tapi Aein….saya masih cintakan awak dan saya akan tetap menunggu awak. Saya sanggup menderita hingga awak menerima saya kembali dalam hidup awak,” kata Lokman bagaikan mahu membuatkan aku menjadi serba salah.
“Lokman, awak dah ada Rina….,”
“Tapi saya tak cintakan dia. Awak tahu, saya dipaksa dan terpaksa kahwin dengan dia! Saya dah banyak kali cuba nak jelaskan dengan awak tapi awak tak pernah bagi saya peluang. Saya tak boleh hidup dengan dia. Aein, saya tak mampu sebab tiada langsung rasa sayang saya pada dia,” Lokman bersuara tegas.
“Lokman, baliklah pada Rina. Dia sedang menunggu awak…”
“Dia jumpa awak, Aein? Awak percaya dengan apa yang diperkatakannya? Awak lebih percaya dia? Lebih kasihankan dia berbanding saya?”
“Lokman, dia dah banyak berubah. Walaupun mungkin bagi awak dan saya apa yang dia dan mama awak buat kejam dan jahat, saya percaya dia sangat cintakan awak. Kerana cintakan awaklah dia sanggup buat semua tu….dia dah mengaku salah silap dia. Dia minta maaf dan mohon dihalalkan segala-galanya. Berilah dia peluang untuk hidup bersama awak. Saya yakin dia mampu bahagiakan awak dan boleh menjadi isteri yang baik untuk awak, ibu yang paling sesuai untuk bakal anak-anak awak.”
“Tapi Aein…”
“Kalau benar awak sayang dan cintakan saya, pulanglah kepada Rina. Dia sangat menyintai awak, Lokman. Semua mannusia pun buat silap dan anggaplah tu kealpaan dari dia kerana terlalu kasihkan awak. Bayangkan Lokman betapa bertuahnya awak kerana ada wanita yang sanggup buat begitu kerana cintakan awak. Hargailah apa yang dia buat. Lagipun hati saya sudah dimiliki, Lokman. Sudah-sudahlah mengenang apa yang terjadi dalam hubungan kita, lupakan semuanya. Saya minta maaf dan halalkan semuanya. Jangan cari saya lagi, Lokman,” aku cepat-cepat meletakkan telefon.
Aku tidak berdaya menahan sebak. Air mata aku akhirnya mengalir jua.
***************** TAMAT ****************
Hasil Karya: Printesa Aein.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan