Malam ini hanya tinggal aku dan Mak Leha di rumah. Sudah hampir sejam mama, papa dan kak long keluar untuk menghadiri majlis ulang tahun sahabat karib papa, Uncle Haris. Suasana sunyi di dalam rumah banglo dua tingkat ini benar-benar membosankan aku.
Aku mencapai komputer riba hadiah daripada papa sempena ulang tahun aku yang ke-17. Aku memetik suis dan menyambungkan wayar talian internet. Aku membuka dan membaca kotak e-mail satu persatu sambil tersenyum puas apabila melihat e-mail daripada kenalan internet aku yang berada di Jakarta, Indonesia. Sudah dua hari e-mail aku tidak dibalasnya:-
Assalamualaikum. Kehadapan saudari Aein yang berada di Johor Bahru, Malaysia. Moga sahaja saudari sihat di samping keluarga tercinta. Alhamdulillah, buat diri saya dan seisi keluarga di Indonesia sihat semuanya. Maafkan saya kerana agak lewat membalas e-mail saudari. Sebenarnya saya agak sibuk mengulangkaji pelajaran bagi menjalani ujian akhir yang akan tiba seminggu sahaja lagi. Tentu saudari sedang gemuruh saat ini, menanti keputusan ujian STPM saudari yang akan diumumkan tidak lama lagi. Saudari Aein, percayalah, jika saudari melakukan sesuatu dengan hati yang ikhlas lantas disulami dengan usaha juga doa, insya-Allah Tuhan akan memperkenankan dan mempermudahkan segala urusan dan perjalanan hidup saudari. Hadapilah segala dugaanNya dengan tenang kerana kesabaran itu adalah separuh daripada iman. Hidup kita ini umpama putaran roda, terkadang kita di atas dan terkadang kita di bawah. Saudari harus kuat dan cubalah untuk berdiri di atas kaki sendiri. Saudari Aein, cukuplah sampai di sini buat kali ini. Saya doakan agar saudari Aein selalu sukses di dalam kehidupan. Sampaikan salam saya buat mama, papa dan kak long saudari. Tidak lupa juga buat Mak Leha yang setia menjadi peneman bicara saudari tatkala sunyi menyelubungi diri.
Moga kita dapat bertemu lagi. Sekian, Wassalam. Sahabatmu – Tantiati Budiman.
Aku menarik nafas sedalam-dalamnya. Ya, memang benar kata-kata Tantiati. Aku harus berdiri di atas kaki sendiri. Degupan jantung semakin kencang tatkala teringatkan keputusan STPM yang akan diumumkan dua minggu sahaja lagi. Semoga aku dapat mengikuti jejak papa, mama dan kak long.
******************************
“Assalamualaikum”.
“Waalaikumussalam.” Aku menjawab salam lantas menoleh ke belakang. Wajah jejaka kacak yang selama ini menganggu tidur malam aku kini terpacak di depan aku. Hakim tersenyum kambing melihat aku masih memegang kain basah yang aku gunakan untuk mengelap meja. Sudah seminggu Hakim tidak menjengukkan diri dan menjamu selera di restoran Macdonald, City Square, Johor Bahru ini. Seminggu jugalah aku menanggung beban rindu yang berbuku di hati.
“Aein apa khabar? Sihat?” Tanya Hakim sambil tersenyum.
“Ermmmm, tak nampak ke saya kat depan awak ni? Kalau tak sihat tak adanya saya kat Macdonald ni buat kerja.” Aku sengaja mengenakan Hakim.
“Aduhai, ada-ada saja awak ni, Aein. Loya buruk awak ni lah yang buat saya tak tidur malam. Aein, jom temankan saya makan tengah hari.”
“Ye ke tak tidur malam? Entah-entah awek keliling pinggang. Hari ni mimpi Minah, esok mimpi Senah, lusa mimpi Milah.” Aku cuba menduga Hakim.
“Mana ada ramai awek. Saya ada sorang saja awek. Cepatlah Aein. Temankan saya makan.” Hakim tergelak kecil sambil mengerling jam di tangannya.
“Sekejap ek. Saya cari orang untuk gantikan tempat saya.” Aku mencari Jessica untuk menggantikan tempat aku.
“Ehem, ehem…Keluar dengan abang ya?” Jessica memang kaki mengusik. Kehadiran tiga orang sahabat karib aku sejak dibangku sekolah rendah lagi sehingga kini iaitu Jessica, Nurul Syuhadah dan Sharmala membuatkan aku lebih bersemangat untuk terus bekerja di restoran Macdonald ini.
“Kau ni Jes, abang angkat aku lah. Kau tolong eh? Sekejap saja aku pergi.” Aku dan Hakim jalan beriringan.
“Kita makan kat Kenny rogers boleh?” Tegas sahaja kedengaran nada suara Hakim.
“Boleh. Saya tak kisah. Janji kenyang.” Balas aku ringkas. Kenapa pula mamat ni? Tiba-tiba jerk serius semacam. Takut aku nak tengok muka dia.
“Beri saya Roasted Chicken Salad dua dan Ice Lemon Tea dua.” Hakim terus memesan makanan tanpa menanya aku terlebih dahulu. Masam mencuka mukanya.
“Macam mana kerja, sibuk sangat ke?” Aku memulakan perbualan kerana tidak sanggup melihat wajah Hakim yang masih masam mencuka.
“Tak lah sibuk sangat. Saya baru saja balik dari KL. Ada kes kat sana yang perlu diselesaikan. Balik saja dari KL terus ke sini. Tak sabar nak jumpa awak.” Hakim merenung mata aku. Aku jadi tidak selesa dengan renungan itu.
Makanan yang dipesan sudah sampai. Aku dan Hakim menjamu selera. Kami tidak bercakap sehinggalah makanan kami habis.
“Aein, boleh saya tanya sikit?”
“Oh, boleh, boleh. Nak tanya banyak pun boleh.”
“Aein, boleh tak kalau awak serius sikit? Ni bila bercakap, mesti nak berloya buruk.” Tegas Hakim dengan wajah seriusnya.
“Ops, maaf lah. Ok, ok. Saya serius ni. Apa dia?”
“Tak apa. Sikap awak yang loya buruk ni lah yang buatkan saya tak sabar nak balik ke Johor. Aein, awak dah berpunya ke?” Hakim melepaskan nafas lega. Akhirnya soalan yang sentiasa bermain dibenak fikirannya sekian lama telah dilontarkan kepada gadis pujaannya.
“Err…Saya belum berpunya. Saya belum fikir pun pasal teman hidup lagi.”
“Sudi tak kalau awak jadi teman hidup saya? Saya dah lama taruh hati kat awak, Aein. Saya mencintai awak.”
Alamak!! Apa aku nak jawab ni? Aku pun memang suka kat dia.
“Ssss..sa…sa…saya terima. Tapi, sanggup ke awak tunggu saya sampai saya habis belajar?” Tergagap-gagap aku menjawab soalan Hakim.
“Tak apa, Aein. Saya sanggup tunggu Aein sehingga seribu tahun sekali pun.” Terpancar keikhlasan dari mata jejaka kacak yang bernama Ahmad Hakim di hadapan aku ini.
******************************
“Aein, turun makan sayang.” Suara mama dari tingkat bawah mengejutkan aku daripada lamunan. Aku menuruni anak tangga dan terus ke ruang makan. Aroma rendang daging, ayam masak merah dan nasi beriani menaikkan lagi selera aku. Papa dan kak long juga berada di situ. Aku menarik mak Leha untuk makan bersama kami. Mama menyuruh mak Leha duduk di sebelahnya dan kami makan dengan penuh selera.
“Sarah, rombongan meminang daripada pihak lelaki datang hari sabtu ni kan?” Kak long hanya mengangguk sambil tersenyum. Aku puji sifat kak long yang lemah lembut dan mendengar setiap kata mama dan papa. Tidak seperti aku yang kadangkala keras kepala.
“Hah? Kak long nak kawin ke?” Aku terperanjat mendengar kata-kata mama.
“Ya, Aein. Kak long akan dijodohkan dengan anak Uncle Haris.” Tegas papa. Sikap tegas mama dan papa kadangkala merimaskan aku.
“Alamak, kak long! Kenapa hari sabtu ni? Aein punya keputusan STPM keluar hari sabtu ni juga.” Aku kurang senang dengan berita rombongan merisik kak long. Kenapa harus jatuh sama hari dengan hari keputusan STPM aku?
“Nak buat macam mana Aein. Pihak lelaki dah tetapkan macam tu. Tapi, Aein kan boleh pergi dengan kawan-kawan Aein untuk ambil keputusan tu nanti. Kak long, mama, papa dan mak Jah sibuk masa tu. Kak long janji, kalau Aein lulus cemerlang, nanti kak long bawa Aein makan angin ke Australia.” Aku hanya mampu mengangguk sambil tersenyum mendengar kata-kata dan janji kak long.
******************************
Petang itu aku keluar membeli-belah bersama Jessica, Nur Syuhadah dan Sharmala. Kami telah menghantar notis berhenti kerja 24 jam semalam. Pengurus restoran Macdonald, Encik Mahathir mengucapkan terima kasih kepada kami berempat kerana sudi bekerja di restorannya dan dia mengalu-alukan kedatangan kami sekiranya ingin bekerja semula.
Kami berjalan-jalan melihat barang-barang yang dijual di dalam komplek membeli-belah City Square. Dari sebuah kedai ke kedai yang lain aku lewati. Kami menemani Jessica ke kedai minyak wangi di tingkat dua. Pelbagai jenis minyak wangi ada di jual di kedai ini. Aku tertarik dengan bau minyak wangi berjenama Elizebeth Arden-Green Tea. Setelah tawar-menawar akhirnya aku dapat memilikinya dengan harga RM184.00 sebotol.
Kami ke kedai buku Popular di tingkat empat. Aku dan yang lain memang hantu novel. Aku membelek-belek dan membaca sipnosis novel bertajuk “Kasih Yang Suci” hasil penulisan Meen Zulaikha. Novel ini baru sampai agaknya. Sejak diadaptasikan ke bentuk drama yang bersiaran setiap hari Isnin hingga Khamis di TV3, novel ini bagaikan gorang pisang panas larisnya. Aku memanggil Jessica, Nur Syuhadah dan Sharmala.
“Beb, beb. Tengok ni. Apa yang aku dapat.” Aku mengangkat novel itu ke atas sedikit, biar jelas dan dapat dilihat oleh kawan-kawan aku.
“Eh, novel “Kasih Yang Suci” lah. Kena beli ni. Kita mana sempat tengok drama Nora Elena. Asyik kerja saja 24 jam.” Jessica mencapai novel “Kasih Yang Suci” dari rak buku di hadapannya.
“Aku pun nak beli.” Giliran Sharmala pula mengambil novel itu dan diikuti Nur Syuhadah pula.
“Amboi-amboi, banyaknya membeli-belah ya, Cik Aein?” Suara garau yang menyapa benar-benar memeranjatkan aku.
“Eh, awak. Tak kerja ke hari ni?” Aku dapat melihat Jessica, Nur Syuhadah dan Sharmala mengenyitkan mata kepada aku dan meninggalkan aku bersama Hakim di situ.
“Saya baru habis kerja. Oh, suka baca novel rupanya. Kenapa tak cakap nak berjalan kat sini. Kalau tak tadi boleh saya jalan sama-sama. Pejabat saya pun bukannya jauh sangat. Kat tingkat atas saja, kan…Atau….Aein tak sudi berjalan dengan saya?”
“Eh, bukan macam tu. Tak elok pulak rasanya kalau kacau awak waktu berkerja. Lain kali saja lah kita keluar bersama, ya?” Aku rasa tidak manis pula kalau aku dan Hakim selalu keluar bersama.
“Aein, untuk awak saya selalu ada masa. Lagi pun saya ni peguam. Kes pun tak banyak sangat akhir-akhir ni. Apa kata kita jalan-jalan sekarang dan saya akan hantar awak balik nanti. Boleh?” Aku mencongak-congak dan meminta diri sekejap untuk memberitahu Jessica, Nur Syuhadah dan Sharmala.
“Kengkawan, mamat tu ajak aku keluar. Korang jalan-jalan lah dulu ok. Aku balik dengan dia. Nanti apa-apa aku telefon.”
“Ok. Hati-hati Aein. Jangan balik lewat malam sangat. Nanti risau pulak mama dan papa kau.”
“Ok Jes. Terima kasih.” Aku berjalan mendapatkan Hakim. Kami jalan beriringan keluar daripada kedai buku Popular dan menuju ke tempat parkir kereta. Aku menjoloskan diri ke dalam kereta Toyota Alphard milik Hakim. Hakim membelokkan keretanya menuju ke Danga Bay. Sudah ramai pengunjung membanjiri Danga Bay. Ada yang berkeluarga dan ada pula yang berpasangan.
Aku dan Hakim menyusuri Danga Bay malam itu. Angin sepoi-sepoi bahasa dan bau air laut benar-benar menyentuh naluri aku. Sudah lama aku tidak berjalan-jalan seperti in bersama mama, papa, kak long dan mak Leha. Melihat kemesraan sebuah keluarga di hadapan aku, aku tersenyum sendirian. Memang sukar untuk dimengertikan.
“Aein, apa yang awak fikirkan?” Tersentak aku mendengar sapaan Hakim.
“Eh, tak ada apa-apa lah.” Aku cuba menyembunyikan perasaan aku. Aku tak mahu Hakim mengetahuinya. Belum masanya untuk aku menceritakan segalanya.
“Jom kita duduk situ.” Aku menurut sahaja.
“Aein, apa cita-cita awak?” Aku tersenyum mendengar soalan Hakim. Tak pernah dia menanya cita-cita aku. Mungkin sekadar berbasa-basi.
“Insya-Allah, kalau boleh saya nak jadi macam awak. Nak jadi peguam.”
“Tak sangka awak juga minat jadi peguam. Saya yakin Aein boleh jadi macam saya satu hari nanti. Jadi peguam ni bukannya susah sangat. Kena banyak membaca. Nanti bila Aein dah belajar, barulah Aein boleh faham. Ha, kalau ada apa-apa yang tak faham, Aein boleh tanya saya.”
“Ok. Terima kasih. Awak, dah nak pukul 9.00 ni. Saya nak balik lah. Tak manis anak dara balik lewat malam.”
“A’ah. Dah nak pukul 9.00. Jom kita balik.” Aku dan Hakim berjalan menuju ke tempat pakir kereta.
******************************
Hari yang dinantikan telah tiba. Aku, Jessica, Nur Syuhadah dan Sharmala sudah berkumpul di Sekolah Menegah Aminuddin Baki. Hati aku gementar tidak terkata. Begitu juga dengan Jessica, Nur Syuhadah dan Sharmala. Apakah keputusan aku akan melayakkan aku untuk ke menara gading? Aku berteka-teki sendiri.
Lamunanku terhenti apabila Jessica berkata “Hei, korang. Cikgu Aspalela kata kita dah boleh tengok keputusan kita kat papan kenyataan di dalam dewan Aminuddin Baki. Ish, aku takut la.” Terpancar wajah gelisah Jessica.
“kau ni Jes. Nak takut apa? Kita dah ada kat sini pun. Keputusan pun dah keluar. Dah, jom kita pergi tengok.” Nur Syuhadah dengan bersahaja mendahului kami bertiga.
Kami berempat tiba di dewan Aminuddin Baki dan terus menuju ke papan kenyataan.
“Aein, kau bacakan keputusan kita orang lah. Kau tinggi. Senang nak tengok.” Sharmala meminta aku untuk membaca keputusan kami berempat. Aku mencari-cari nama yang telah di susun mengikut abjab sambil membaca di dalam hati, Jessica Gan-4A, Nur Aein binti Ahmad-4A, Nur syuhada binti Sulaiman-4A dan Sharmala A/L Vimalan juga 4A.
Aku melonjak kegembiraan, “Beb, kita semua dapat 4A!!!!” Aku, Jessica, Nur Syuhadah dan Sharmala berpelukan sambil mengucapkan tahniah sesama sendiri. Aku segera pulang ke rumah dan tidak sabar untuk mengongsi berita gembira ini bersama papa, mama, kak long dan mak Leha. Langkah aku terhenti apabila terpandangkan sebuah kereta Toyota Alphard berwarna hitam yang diparkir betul-betul di hadapan rumah aku. AKM10. Ini kereta Hakim. Macam mana kereta ini boleh ada di sini? Aku melangkah masuk dan melihat ramai tetamu yang hadir untuk merisik kak long. Aku pantas menaiki anak tangga menuju ke bilik kak long.
“Siapa nama bakal suami kak long? Cakap kak long, cakap!” Aku menengking dan aku tidak dapat menahan air mata dari terus jatuh membasahi pipi. Kesabaranku teruji kini. Mama masuk ke bilik kak long diikuti papa dan mak Leha di belakangnya.
“Apa kena dengan kamu ni, Aein? Balik-balik saja terus naik angin? Tak malu ke? Suara kamu sampai kat bawah boleh dengar.” Papa tersentak apabila aku memandangnya dengan mata yang berair dan dibesarkan.
“Apa lagi yang papa nak Aein korbankan? Apa yang Aein buat semuanya salah. Pernah papa dan mama ambil tahu pasal Aein? Pernah?” Tersedu-sedu aku bercakap sambil menangis. “Aein tak pernah kisah semua tu sebab Aein faham kerja mama, papa dan kak long mamang sibuk sebagai peguam. Cuma hari ni Aein nak kan kepastian. Kak long, siapa nama bakal suami kak long?”
“Aein, dengar dulu apa yang kak long nak cakap. Tantianti Budiman. Aein, orang yang setiap hari Aein e-mail tu adalah kak long. Ya, memang betul kami tak dapat mengikuti perkembangan Aein kat luar dan dalam rumah ni. Tapi dengan teknologi terkini dan adanya mak Leha dapat membantu kami mengetahui kegiatan Aein setiap masa. Ahmad Hakim dan Ahmad Hakimi, mereka kembar dan hari ini orang yang merisik kak long adalah Ahmad Hakimi abang kepada Ahmad Hakim. Tahniah sayang sebab dapat 4A dalam STPM. Aein dapat buktikan yang Aein mampu berdiri di atas kaki sendiri.” Lembut suara kak long mengusik tangkai hati aku. “Maafkan Aein, kak long, mama, papa….” Aku menangis teresak-esak sambil memeluk kak long. Ya Allah, aku bersyukur kepadaMu di atas rahmatMu ini.
**************TAMAT***************
Hasil Karya: Printesa Aein
Tiada ulasan:
Catat Ulasan